Setiap ibu bapa di dunia ini semuanya ingin melihat anak-anak yang dijaga bagaikan minyak yang penuh menjadi orang yang baik peribadinya, dan mampu mengutus doa setelah ibu ayah dipanggil Allah ke alam barzakh kelak.

Alangkah senangnya hati ibu dan ayah jika anak-anak ini sering menjadi sebutan kerana kebaikan dan sudah pasti kegembiraan bagai direntap dari hati mereka jika anak-anak tadi menjadi pemenang di medan kejahatan.

Wahai ibu, wahai ayah ketahui dan sedarilah bahawa setiap tingkah laku yang anak-anak pamerkan ini ada kesannya daripada tingkah laku yang kita sendiri tonjolkan tanpa sedar ataupun tidak, sedikit ataupun banyak.

Jadi di sini, mari kita sama-sama bermuhasabah dan lihat ke dalam diri, di mana silapnya kita dalam mendidik sebelum kesilapan kita ini merangkak masuk ke dalam kehidupan anak-anak dan mula membentuk peribadinya.

Pendidikan adalah satu proses di mana ia bermula daripada pemikiran dan kepercayaan yang terbentuk dalam minda seterusnya menjadi sikap dan menghasilkan perlakuan atau perbuatan.

Pemikiran inilah yang anak-anak kita sedang bina sekarang di mana ketika usia mereka masih lagi pada fasa pertama kehidupannya. Pada waktu ini persekitaran membentuk pemikiran. Manakala persekitaran yang paling hampir dan sentiasa berada dalam ruang lingkup kehidupan mereka adalah kita, ibu dan ayahnya. Jadi, setiap perbuatan dan percakapan yang ditonton saban hari itulah yang akan dilihat dan diproses dalam mindanya.

Jika perkara yang sama dilihat secara kerap maka perkara tadi dengan mudahnya diserap ke dalam minda bawah sedarnya. Di sinilah satu program untuk sesuatu perbuatan itu dibina dan menunggu untuk dilancarkan. Bagaimana? Contohnya, jika anak selalu melihat ibu bersalaman dengan ayah sebelum pergi bekerja, minda bawah sedarnya akan merakam perbuatan tersebut dan program akan dibina.

Apabila tiba situasi yang sama contohnya ayah pergi bekerja, minda anak akan melancarkan program tersebut dan secara semula jadinya mengarahkan anggota badannya untuk bertindak bersalaman dengan ayah. Ini satu contoh daripada pelbagai program yang sekarang ini mungkin telah banyak berada dalam minda anak-anak kita dan membentuk tindakan dan percakapannya.

Jadi, perkara pertama yang perlu dipastikan ialah, perbuatan dan percakapan yang kita tunjukkan saban hari kepada anak. Adakah terdapat perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan atau percakapan yang tidak sedap didengar yang pernah diungkapkan sehingga mungkin telah pun menjadi program di minda anak. Jika ada, kita perlu berterus terang dengan anak tentang kondisi perbuatan dan percakapan tersebut. Apakah statusnya? Baik atau tidak, elok atau tidak?

Perbetulkan semula program mindanya untuk mengambil hanya yang baik dan membuang apa sahaja yang tidak baik. Bagaimana untuk mengesan, dalam keadaan ini, perbuatan yang anak tonjolkan menjadi penunjuk kepada kesilapan kita. Jika anak kerap kali menyebut perkataan yang tidak elok, perbetulkan semula perkataan itu, terangkan padanya dengan baik dan kasih sayang kerana anak pada usia awalnya belum mengerti dia hanya mengungkapkan apa yang dia percaya betul melalui tindakan persekitaran yang dijadikan model kehidupannya.

Kemudian, terangkan akibat percakapan tersebut dan berikan cadangan perkataan yang baru dan lebih baik untuk digunakan. Pujilah anak jika dia berjaya menukar perkataan tersebut dengan yang lebih baik.

Pengaruh TV

Dalam pada itu, tindakan anak-anak juga ada kaitannya dengan siri televisyen yang ditonton. Justeru, adalah penting untuk ibu atau ayah duduk bersama anak sewaktu dia menonton dan terangkan terus perkara yang baik atau tidak dalam cerita tersebut. Di sini anak-anak akan jelas untuk membuat pilihan perkara yang baik dengan tidak baik.

Perkara yang paling penting untuk dilakukan ialah beri teguran kepada perbuatan atau percakapan yang dirasakan tidak wajar dilakukan atau disebut oleh anak. Jangan dibiarkan dengan anggapan anak masih kecil. Teguran yang kita buat dalam keadaan kasih sayang akan membantunya membina program-program yang baik sejajar dengan fitrah dirinya.

Jangan ambil ringan setiap perkara yang anak lakukan sekarang kerana jika dibiarkan dia akan membina kepercayaan bahawa perkara yang dilakukan adalah betul seterusnya menjadi sikap yang mendorong perbuatannya. 

Artiklel ditulis oleh: NURUL ASIAH FASEHAH MUHAMMAD 
(PENSYARAH UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA)