Diari kehidupan manusia sehari-hari penuh dengan aktiviti. Pelbagai perkara perlu diselesaikan sehingga kadang-kadang masa untuk diri sendiri pun dilupakan begitu sahaja.
Perkara sebegini jika berlaku ketika kita masih bujang dan tiada komitmen masih boleh dimaafkan namun jika sudah bergelar ibu dan bapa, masa bukan lagi hak peribadi yang boleh disusun mengikut kehendak sendiri namun masa kini milik bersama. Justeru, perlu bijak mengatur masa agar hak insan tersayang tidak kita abaikan begitu sahaja.
Mungkin sekarang sewaktu anak masih kecil dia tidak pandai memberi komen lantas ibu bapa tidak rasa ia menjadi masalah namun perhatikan sejenak anak-anak kita. Apa yang terbuku di minda dan hatinya? Adakah dia benar-benar merelakan atau ada sesuatu yang lompang dan perlu diisi segera.
Lampu kecemasannya ialah apabila anak mula tunjukkan perangai, mudah merajuk dan kerap mengamuk. Alahai anak kasihan dirimu.
Manusia itu wujud melalui dua juzuk penting iaitu fizikal dan roh, barulah boleh dipanggil sesuatu ciptaan Allah itu sebagai manusia. Daripada dua buah komponen ini, roh adalah perkara terbesar yang wujud dalam diri manusia merangkumi hati, nurani dan emosi. Namun kita sering mengukur kepuasan anak dari sudut fizikal tanpa mengambil kira keperluan rohnya. Jadi di sini sahaja telah nampak ketempangan yang jelas.
Justeru, sebagai ibu bapa yang prihatin, keperluan rohani anak perlu lebih diambil perhatian. Selain bertanya adakah anak sudah kenyang soalan lain yang perlu kita fikirkan adalah adakah anak kita sudah puas dari segi emosi dan rohaninya.
Inginkan belaian
Daripada 24 jam masa yang diperuntukkan Allah untuk kita seharian pilihlah waktu yang benar-benar berkualiti untuk diri si permata hati. Ajarkannya cara menjadi hamba Allah yang soleh dan berikannya kasih sayang yang melimpah ruah.
Caranya mungkin dengan meluangkan masa bercerita untuknya sebelum tidur, kisah para Anbia’ atau para solihin yang menanamkan roh Islam dalam diri anak lalu menyuburkan fitrah yang wujud dalam dirinya.
Luangkan masa kita bercerita dengan penuh emosi dan menumpukan sepenuh perhatian hanya pada dirinya sudah cukup untuk anak rasakan mama, ayahnya sedang mencurahkan sepenuh kasih sayang buat dirinya.
Sebelum tidur sama-sama memasang azam, kita adalah insan soleh, hamba Allah yang soleh dan sangat idamkan syurga Allah. Tutuplah perbincangan anak beranak ini dengan doa tidur. Pasti anak akan merasa kepuasan dengan penutupan hari yang amat bermakna.
Fasa pertama kehidupan anak-anak perlu disarati dengan rasa kasih sayang yang ditujukan khas buat dirinya. Kasih sayang ini perlu ditonjolkan dengan ucapan dan tindakan kita. Bukan sahaja pelukan dan ciuman malah masa yang diluangkan bersama dengan penuh gelak tawa juga adalah rasa sayang buatnya.
Jika keperluan emosi ini tidak dapat dipenuhi maka fitrah kanak-kanak yang periang dan manja penuh dengan perasaan positif akan malap dan emosi negatifnya akan ditimbulkan demi menagih perhatian ibu bapanya.
Anak-anak yang mudah merajuk, kuat mengamuk ini sebenarnya sedang berbicara dengan ibu dan ayahnya bahawa dia inginkan belaian dan masa bersama.
Jadi dapatkanlah dia, peluk dan ucapkan rasa sayang yang amat sangat pada dirinya. Biarkan sebentar pelukan itu pasti anak akan lebih tenang.
Apa yang perlu kita sedar, inilah tanggungjawab dan amanah yang perlu kita benar-benar lunaskan untuk menjawab soalan daripada Allah di Hari Pengadilan kelak.
Buatlah semuanya dengan sepenuh hati dan keikhlasan pasti rasa ringan dan seronok menjalankan tugasan yang diberikan Allah. Moga kita semua menjadi ibu bapa yang penuh tanggungjawab dan tidak pernah mengalah dalam mendidik, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment